Apakah Hari Hasanah?

Hari Hasanah ialah hari yang mana Khazanah, berganding bahu dengan Yayasan Hasanah, Yayasan Khazanah, Khazanah Research Institute, Think City, rakan kongsi rangkaian kami dan kakitangan kami menyumbangkan masa dan usaha mereka untuk melakukan amal kebajikan bagi manfaat pelbagai lapisan anggota masyarakat. Hari Hasanah diadakan setiap tahun antara Hari Kebangsaan dengan Hari Malaysia.

Kami mengalu-alukan penyertaan anda untuk melakukan sebarang amal kebajikan pilihan masing-masing pada hari Hasanah yang berlangsung pada bulan September ini. Selagi mana amal kebajikan itu dilakukan setulus hati, amal kebajikan yang kecil pun akan memberikan kesan yang besar.

Pada tahun lepas, Hari Hasanah yang pertama telah diadakan pada 3 September 2017. Lebih 300 inisiatif telah dianjurkan oleh lebih 90 rakan kongsi dan individu di seluruh negara, sekali gus memberikan impak kepada lebih 20,000 orang. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelbagai inisiatif tahun lepas menerusi laman ini.

Pada tahun-tahun akan datang, kami berharap Hari Hasanah akan menjadi suatu pergerakan yang dapat menyatukan rakyat Malaysia untuk bersama-sama berganding bahu bagi melakukan amal kebajikan untuk manfaat orang lain dan seterusnya membantu menggalakkan semangat kekitaan serta menyuburkan perpaduan dalam masyarakat pelbagai budaya dan etnik di negara kita. Sesungguhnya kebajikan itu mampu menjana kuasa perubahan yang cukup besar.

Bak kata pepatah, amal kebajikan bermula di rumah, justeru usaha dimulakan dengan diri kami sendiri.

Bagaimana anda dapat memainkan peranan

Inisiatif Hari Hasanah anda boleh dilaksanakan secara individu atau berkumpulan, bersama-sama dengan rakan sekerja, atau keluarga dan sahabat anda, walau di mana sahaja anda berada pada hari tersebut. Hari Hasanah bermaksud memperuntukkan masa, sumber, dan usaha anda dalam melakukan sesuatu yang berfaedah kepada masyarakat.

Aktiviti tersebut boleh sahaja merupakan suatu aktiviti mudah seperti menghulurkan bantuan di soup kitchen bagi golongan gelandangan atau meluangkan masa sehari di rumah warga tua.

Anda juga boleh menganjurkan inisiatif berskala besar seperti gotong-royong di kejiranan anda atau membaiki kemudahan di sebuah rumah anak yatim. Semuanya terserah pada anda. Fikirkan apa yang boleh anda lakukan dan ingin lakukan demi manfaat insan lain, sama ada mereka ialah individu di sekitar anda, kejiranan anda, atau kumpulan dan komuniti di lokasi yang lain.

Jangan lupa kongsikan kisah menarik anda bersama kami di media sosial melalui tanda pagar #HariHasanah #DoGoodTogether #BerbudiBersama!