Melindungi kanak-kanak yang kurang bernasib baik

Posted on Ogos 24, 2017

Di sebuah rumah kedai usang, sekumpulan remaja yang berumur antara 13 hingga 18 tahun sedang asyik membelek foto yang diambil semasa bengkel fotografi. Sekumpulan remaja lain sedang berbincang tentang tugasan yang diberikan kepada mereka oleh guru sukarelawan.

Kumpulan anak muda ini merupakan sebahagian daripada peserta KL Krash Pad (KLKP), sebuah pusat yang diseliakan oleh Yayasan Chow Kit (YCK). YCK ialah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang membantu golongan kanak-kanak dan belia tempatan serta masyarakat pelarian yang menghuni kawasan Chow Kit. Di pusat sini, remaja yang hidup dalam keadaan serba kekurangan dan terdedah kepada pelbagai jenis risiko tinggi berpeluang untuk menghadiri pelbagai program literasi serta aktiviti yang menjurus kepada penambahbaikan diri.

“YCK menyediakan sebuah tempat perlindungan yang selamat untuk kanak-kanak danremaja. Di sini, kami ingin mendedahkan mereka kepada sebanyak mungkin peluang dan membantu mereka mencapai potensi mereka yang sebenar,” kata M. Pusenthi , Pengurus Pusat KLKP. “Kelas bimbingan yang disediakan merangkumi matapelajaran asas sekolah sehingga bidang lain seperti teater dan fotografi,” tambah beliau lagi.

Selain KLKP, YCK juga menjalankan operasi Pusat Aktiviti Kanak-Kanak yang berumur antara 7 hingga 12 tahun. Kedua-dua pusat tersebut menyediakan makanan, kemudahan yang bersesuaian dengan peringkat umur serta pelbagai program khusus bagi golongan anak muda yang terdedah kepada pelbagai risiko ini.

Bersempena dengan Hari Hasanah, YCK akan menyediakan perkhidmatan yang sama kepada keluarga Orang Asli di sebuah perkampungan di Kemensah, Selangor. Remaja dari KLKP dan sukarelawan YCK akan bersama-sama menganjurkan beberapa aktiviti yang bertemakan kebersihan dan perlindungan diri. Menerusi aktiviti ini, YCK berharap dapat membantu komuniti Orang Asliini serta menanamkan keyakinan diri untuk terus mencapai impian kehidupan yang lebih baik.

“Kami mahukan khidmat yang kami sediakan tidak sekadar tertumpu kepada penghuni bandar sahaja tetapi mencari jalan untuk terus berbakti dan menghulurkan bantuan kepada seramai mungkin ibu bapa, remaja dan kanak-kanak, demi mewujudkan masa depan yang lebih baik bersama,” tambah Pusenthi.

Berbekalkan semangat serta usaha berterusan, YCK telah berjaya membantu kira-kira 900 orang kanak-kanak sejak penubuhannya pada tahun 2010. Matlamat utama YCK adalah agar kanak-kanak yang dibantu dapat meningkatkan kepercayaan kepada kemampuan diri sendiri dan seterusnya memperlengkapkan diri mereka dengan kemahiran yang bersesuaian bagi membantu mereka menjadi individu yang berdikari.