Memperkasakan golongan muda dengan kemahiran baru

Posted on Ogos 24, 2017

Pendidikan merupakan kunci yang membuka peluang kepada perubahan positif dalam masyarakat. Menyedari hal ini, Yayasan MySkills telah mengambil pendekatan memperkasakan golongan muda yang kurang bernasib baik dengan pendidikan untuk memastikan masa depan golongan terbela. Dipimpin oleh Pasupathi Sithamparam, Yayasan MySkills telah ditubuhkan dengan rasminya pada tahun 2011 untuk membantu para pelajar berprestasi rendah dan tercicir dalam pelajaran di sekolah, terutamanya dalam kalangan komuniti India di Malaysia. Berdasarkan kajian, seramai kira-kira 7,000 orang pelajar daripada komuniti ini meninggalkan sekolah sebelum mengambil peperiksaan SPM.

“Yayasan MySkills adalah tempat yang mana belia yang bermasalah diterima untuk mengikuti program transformasi dan diberi latihan yang sewajarnya untuk mengubah sikap mereka serta menambahbaik kemahiran kendiri terutamanya dalam aspek kawalam emosi,” kata Pasupathi.

Pada Hari Hasanah, para pelajar daripada kafe De’Devine akan mengadakan demonstrasi gorengan muruku sebagai sebahagian daripada inisiatif mereka untuk menyumbang semula kepada masyarakat. Kafe De’Devine ialah perusahaan perniagaan sosial oleh Yayasan MySkills yang bertujuan menjadi tapak latihan bagi golongan muda yang kurang bernasib baik dan pelajar yang tercicir untuk menjalani latihan praktikal kemahiran dalam sektor makanan dan minuman (F&B), bekerja di dapur dan menjadi sebahagian daripada krew perkhidmatan. Kesemua hasil keuntungan yang diperoleh kafe ini akan digunakan semula untuk pembangunan belia tersebut.

Selain mempamerkan keupayaan dan kebolehan pelajar daripada pusat latihan, Yayasan MySkills juga berhasrat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa dengan mempunyai asas dan sikap yang betul, setiap orang mempunyai peranan yang penting dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik pada masa depan. Berdasarkan maklum balas daripada para peserta di pusat latihan, pelajar yang berpotensi dan berkebolehan mampu mempengaruhi rakan sebaya mereka untuk melakukan sesuatu kerja dengan lebih baik. Oleh yang demikian, tanggungjawab untuk membantu golongan belia yang kurang bernasib baik ini bukan hanya terletak pada sesebuah badan atau organisasi tertentu tetapi orang ramai turut boleh memainkan peranan untuk membantu sesiapa yang memerlukannya.

“Kami amat berbangga kerana setakat hari ini, seramai 638 pelajar telah menamatkan pengajian daripada Yayasan MySkills dan 200 orang pelajar masih bersama kami di pusat ini menjalani latihan hingga mereka berjaya,” tambah Pasupathi Sithamparam.