Menggalakkan Kebersihan dan Dandanan yang Baik dalam kalangan Kanak-kanak Orang Asli

Posted on September 15, 2017

Mengekalkan kebersihan peribadi adalah penting sama ada untuk keyakinan peribadi atau untuk kesihatan. Amalan yang mudah seperti membasuh tangan sebelum makan atau selepas menggunakan tandas akan membantu menghapuskan kuman. Meskipun kebersihan dan dandanan peribadi merupakan perkara seharian yang kita lakukan, namun bagi sesetengah orang, masih wujud kurangnya pendidikan tentang cara terbaik untuk membersihkan dan mendandan diri sendiri.

Mengambil kira hakikat ini, pelajar dan guru dari KL Krash Pad mengadakan lawatan ke Kampung Orang Asli Ulu Kemensah untuk mengajar kanak-kanak orang asli tentang betapa pentingnya kebersihan dan dandanan peribadi yang baik sebagai sebahagian daripada aktiviti Hari Hasanah mereka.

Muhammad Hafiz Ardian Shah, seorang pelajar di KL Krash Pad berkata, “Kami berada di sini pada hari ini untuk mengajar kanak-kanak langkah-langkah kebersihan dan dandanan asas untuk terus mengekalkan mereka dalam keadaan sihat. Dengan usaha ini juga kami berharap mereka akan mencipta lebih keyakinan. Bengkel kami adalah bersifat interaktif untuk memastikan bahawa kanak-kanak yang hadir tertarik dan pada masa yang sama mempelajari pelbagai kemahiran yang berguna.”

Ketika bengkel, sukarelawan memainkan permainan dan menggunakan visual warna-warni untuk menunjukkan kepentingan amalan kebersihan asas seperti membasuh tangan, membersihkan gigi dan menjaga kebersihan badan. Sukarelawan menunjukkan cara yang betul untuk melaksanakan setiap aktiviti selain memberikan alat kebersihan asas seperti berus gigi, ubat gigi dan sabun tangan.

Seorang lagi pelajar KL Krash Pad, Muhammad Saad berkata, “Saya berasa seronok untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif ini kerana melakukan sesuatu yang baik untuk orang lain juga menggembirakan hati saya.”

Kampung Orang Asli Ulu Kemensah merupakan tempat tinggal bagi lebih 50 keluarga, dengan 100 penduduk kampong daripada lima kaum yang berbeza. Kampung tersebut mempunyai lebih 30 kanak-kanak dan hanya baru-baru ini memperoleh akses kepada bekalan tenaga elektrik.

Encik Jamil A/L Atong, ketua kampong bagi Kampung Orang Asli Ulu Kemensah menjelaskan bahawa beliau mengalu-alukan inisiatif seperti Hari Hasanah kerana inisiatif sedemikian akan meningkatkan kesedaran terhadap komuniti orang asli.

Beliau menegaskan “Saya amat berharap agar inisiatif seperti Hari Hasanah akan diteruskan agar kita dapat mengongsikan budaya dan tradisi masyarakat orang asli yang kaya dan berganding bahu demi kebaikan semua pihak.”