Menggalakkan Kreativiti untuk Kanak-kanak Kurang Upaya

Posted on Ogos 16, 2017

Kreativiti adalah suatu keupayaan untuk berinovasi dan menghasilkan idea-idea baharu, yang boleh disemai menerusi kesenian, permainan dan imaginasi sebagai suatu alat kreatif, dan juga medium untuk ekspresi diri. Jika kreativiti itu tidak berbatas, mengapakah kemampuan untuk memajukan kemahiran ini hanya terbatas kepada sesetengah individu sahaja?

Bagi sesetengah orang, akses kepada bahan mewarna atau bermain dengan alat muzik mungkin merupakan sesuatu yang biasa. Walaubagaimanapun, terdapat kumpulan kanak-kanak dan belia yang membesar dalam situasi dan keadaan yang kurang bernasib baik dan tidak mempunyai apa-apa pendedahan terhadap alat-alat tersebut.

Ditubuhkan pada tahun 1989, Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun (PKK Tuanku Bainun), menerusi programnya Alam Kreatif, bermatlamat untuk membantu kanak-kanak dan belia yang kurang bernasib baik ini dengan menyediakan tempat yang selamat dan menawarkan peluang untuk mengembangkan dan membangunkan kemahiran kreativiti mereka.

“Pusat ini merupakan hab bagi golongan muda dan mereka boleh datang ke sini untuk merasai pengalaman yang berbeza dengan melakukan pelbagai aktiviti yang disediakan , untuk melengkapi kurikulum sedia ada yang terdapat di sekolah,” kata Raja Mazlena binti Raja Aziz, Pengurus Besar PKK Tuanku Bainun.

Sempena Hari Hasanah ini, Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun akan menganjurkan aktiviti yang sejajar dengan komitmen mereka iaitu untuk menjangkau kepada lebih banyak orang. Kakitangan PKKTB akan melawat ke Rumah Kebajikan Peribadi Mulia, yang mana seramai 66 orang belia akan dihiburkan pada hari istimewa tersebut yang akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang ceria dan menggembirakan termasuklah aktiviti membuat patung boneka dan juga jamuan.

Di samping membuka pintunya kepada kanak-kanak dan golongan belia untuk berkumpul dan belajar, PKK Tuanku Bainun juga akan terus berusaha untuk mendampingi masyarakat yang kurang bernasib baik dengan melawat ke rumah anak yatim dan rumah perlindungan. Salah satu daripada wawasan jangka panjang PKK Tuanku Bainun adalah untuk mewujudkan suatu rangkaian dan menyokong individu yang berminat untuk meneruskan minat dalam bidang seni.

Kreativiti bukan hanya untuk pelukis, tetapi suatu sikap yang dapat diterapkan dalam kehidupan seharian. Menerusi pelbagai pendekatan yang digunakan, PKK Tuanku Bainun berharap agar dapat menggalakkan pemikiran kreatif dan inovasi menerusi penganjuran pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan muzik dan tarian, masakan, pengucapan awam, pembuatan kraf dan lain-lain.

“Kami berharap agar dapat membawa mereka ke peringkat yang seterusnya dengan merapatkan jurang dan menghubungkan minat mereka dengan suatu perjalanan masa hadapan,” jelas Raja Mazlena.