Menjunjung Budaya dan Menyemarakkan Keceriaan di Pulau Mutiara

Posted on September 17, 2017

Sebagai satu daripada tapak Warisan Dunia UNESCO yang diiktiraf, warga Pulau Piang pastinya mempunyai banyak perkara yang dapat dibanggakan apabila menyentuh tajuk berkaitan dengan sejarah, warisan dan budaya negeri. Oleh itu, penting bahawa rasa bangga ini tidak hanya dihayati oleh generasi yang lebih tua tetapi juga oleh generasi muda yang menghuni Pulau Mutiara ini.

Atas kesedaran inilah Think City mengambil keputusan untuk menganjurkan hari penuh ceria bagi kanak-kanak kurang bernasib baik di Pulau Pinang dengan fokus terhadap pembelajaran dan pendidikan warisan sebagai elemen yang terpenting. Berganding bahu dengan 19 rakan kongsi yang terdiri daripada badan-badan bukan berasaskan keuntungan, pihak berkuasa tempatan, organisasi akar umbi, dan juga sukarelawan bebas dan pelajar, Think City mengoptimumkan platform Hari Hasanah untuk melaksanakan sebuah program yang membolehkan komuniti berkumpul bersama dan membawa kegembiraan kepada wajah-wajah hampir 100 kanak-kanak kecil dari Pertubuhan Rumah Kebajikan Seri Cahaya, Rumah Anak Kesayangan dan Rumah Nasyiatul Aisyiyah.

Acara tersebut yang berlangsung di Taman Armenian, di Georgetown, Pulau Pinang, bermula lebih kurang jam 8 pagi dengan sesi tarian dan aerobik menyeronokkan yang dibimbing oleh sukarelawan daripada kakitangan Think City sendiri untuk mewujudkan rasa keterujaan setiap yang hadir dan memusatkan fikiran mereka kepada aktiviti sebelah pagi. Kanak-kanak sekecil tiga tahun sehinggalah sebesar 16 tahun dilihat ceria menikmati aktiviti program, sambil bergerak mengikut rentak nada terkini yang popular.

Ini diikuti oleh sesi yang bebas lagi mudah dengan kanak-kanak diajar bagaimana bermain permainan tradisional seperti tuju selipar, batu seremban dan lidi, dan bagaimana membuat seni dan kraf tangan tradisional seperti seni kertas China. Kanak-kanak yang lebih kecil diberi peluang mengikuti sesi mewarnakan, dalam sesi itu mereka diajar tentang bagaimana mengenal pasti tapak warisan tempatan di Pulau Pinang.

Sementara kanak-kanak yang lebih kecil sibuk dengan aktiviti mewarnakan mereka, sukarelawan dari Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang (Penang Tour Guide Association, PTGA) membawa kanak-kanak yang lebih dewasa berjalan kaki menyusuri laluan warisan di sekitar kawasan itu, bermula dari Jalan Armenia, dan merangkumi tempat-tempat seperti Lebuh Acheh dan Lebuh Carnarvon, Muzium Islam Pulau Pinang yang ditempatkan di sebuah rumah agam elegan yang dibina oleh Syed Mohammed Al-Attas pada tahun 1860, Tokong Yap dan Rumah Suku Yap dan juga Masjid Melayu Lebuh Acheh, yang dibina oleh Tengku Syed Hussain untuk masyarakat Arab Selat pada tahun 1808.

Menambah lagi keceriaan, Think city juga mengundang salah seorang artis karikatur Pulau Pinang yang terkenal, Azmi Hussin, iaitu penerima geran Yayasan Hasanah untuk menggunakan kemahiran artistik beliau dengan melukis potret karikatur kanak-kanak. Demikian juga, para penerima geran, LocalHouz menambah lagi keceriaan dengan persembahan dan pertunjukan secara langsung mereka mengiringi para peserta dan sukarelawan sepanjang acara berlangsung.

Kanak-kanak juga menerima hadiah istimewa daripada Mat Ismail, iaitu Pelawak yang berasal dari Pulau Pinang yang selama ini menggunakan kemahiran komedinya untuk menghiburkan kanak-kanak di negeri Pulau Pinang selama bertahun-tahun. Telatahnya dan juga balon haiwannya menyebabkan beliau meraih pengikut yang terbesar dalam kalangan kanak-kanak sekali gus menjadikan beliau bintang kegemaran peminat sepanjang hari itu.

Akhirnya hari penuh ceria itu merupakan hari yang biasa tetapi amat bermakna yang benar-benar menjelmakan semangat “Berbudi Bersama”. Malah organisasi tempatan seperti Jawi House dan Badan Warisan Masjid Melayu Lebuh Acheh mengumpulkan sumber mereka dan menyediakan sarapan serta makan tengah hari untuk kanak-kanak dan sukarelawan ketika sesi berlangsung. Pada akhirnya, pelajar telah dapat mempelajari dan menjunjung warisan budaya negara mereka dan pada masa yang sama menikmati detik dan hari yang penuh gembira dan bermakna. Mereka meninggalkan acara dengan kata-kata “Hebat Hari Hasanah”, terinspirasi dengan amalan baik oleh setiap individu yang terlibat dalam acara pada hari itu.