Pelajar Melaksanakan Acara Komuniti dalam Membantu Rakan Sekolah yang Memerlukan, dalam Semangat Membantu Menerusi Pemberian

Posted on September 13, 2017

Akses kepada sajian makanan yang mencukupi dan selamat dimakan mungkin mudah bagi kebanyakan daripada kita. Walau bagaimanapun, terdapat segmen tertentu dalam masyarakat kita yang tidak mampu mendapatkan sajian sewajarnya secara harian. Situasi ini tidak ideal bagi kanak-kanak yang sedang membesar, terutamanya mereka yang berada di sekolah rendah dan sedang melalui tahun-tahun terpenting dalam pertumbuhan masing-masing.

Untuk menangani situasi tersebut, pelajar SMK Jeli di Kelantan, mengagihkan daging korban Aidiladha kepada rakan-rakan sekolah mereka, terutamanya pelajar daripada kalangan penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Rual, Kelantan. Kampung Sungai Rual terletak hampir 22km dari bandar Jeli. Kampung ini menempatkan lebih 220 keluarga.

“Untuk Hari Hasanah, kami ingin melakukan melebihi kelaziman membuat gotong royong pembersihan komuniti dan melawat rumah-rumah. Kami merasakan bahawa menggerakkan pelajar untuk terlebih dahulu mendampingi rakan sekolah mereka sendiri akan berupaya membina asas yang kukuh dan mengekalkan sikap untuk menghulurkan bantuan kepada komuniti secara berterusan. Memandangkan masanya serentak dengan Hari Raya Qurban, kami berpendapat ini merupakan inisiatif yang amat baik untuk dilaksanakan,” kata Encik Che Alek Bin Che Ismail, Pengetua SMK Jeli. Ditambah dengan bantuan daripada para guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Jeli, para pelajar mengagihkan daging kepada 300 pelajar yang tinggal di kampong Orang Asli.

Inisiatif ini merupakan yang pertama bagi para pelajar SMK Jeli kerana Hari Raya Qurban lazimnya disambut secara bersendirian di rumah bersama-sama dengan ahli keluarga. Aktiviti ini lantas mewujudkan semangat keakraban, memperkukuh persahabatan dan memberi pelajar suatu imbasan tentang kehidupan komuniti Orang Asli, terutamanya dengan rakan-rakan sekolah yang mereka temui setiap hari di sekolah.

Para pelajar berharap agar acara ini dapat dianjurkan secara tetap. Jelas Encik Che Alek, “Selepas hari ini, pelajar kami telah menyedari betapa pentingnya memberikan sumbangan kepada komuniti dan impaknya terhadap komuniti apabila kita berganding bahu dan bekerjasama. Kami sememangnya menetapkan sasaran untuk menjadikan acara ini acara tetap selepas menyaksikan kejayaan inisiatif yang dilaksanakan pada hari ini.”

Selain daging korban, sekolah juga mendermakan barang keperluan isi rumah yang lain seperti gula, beras dan biskut.